OGOS 2023

Industri Kayu Sediakan 100,000 Peluang Pekerjaan


KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menggesa pemain industri perkayuan di negeri ini memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk mentransformasi industri itu menjadi industri nilai tambah tinggi.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini akan memastikan industri itu terus memainkan peranan penting dalam membangunkan sosio-ekonomi Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meletakkan industri perkayuan sebagai salah satu strategi dan katalis dalam pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030, katanya berucap pada majlis makan malam sempena menyambut Ulang Tahun Ke-50 (Jublie Emas)PUSAKA di sini.

Majlis itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1973, PUSAKA berjaya mentransformasi industri perkayuan menjadi pengeluar dan pengeksport produk kayu tropika utama di wilayah ini dengan mencatatkan eksport tertinggi daripada kayu dan produk kayu bernilai RM7.4 bilion pada 2021.

Menjelang 2030, beliau berkata, kerajaan merancang mencatat nilai eksport produk kayu bernilai RM8 bilion.

Pada waktu puncaknya, industri tersebut menyediakan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, tegas beliau dan menambah, kejayaan itu adalah hasil dasar berkesan dan sokongan padu pemain industri.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll turut menggesa pemegang Lesen Penanaman Hutan (LPF) supaya mempercepatkan program penanaman semula hutan untuk kelestarian industri perkayuan dengan bekalan bahan mentah berterusan.

Program itu, tambahnya, adalah bagi menjamin bekalan bahan mentah dalam jangka masa panjang bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri pemprosesan hiliran. 

Pindaan Ordinan PUSAKA pada 2022 adalah untuk menyelaras peranan PUSAKA dan Jabatan Hutan dalam mengurus hutan dan industri perkayuan secara lebih berkesan.

GAMBAR: Sarawak Timber Industry Development Corporation

Sumber dari : Jiwa Bakti